Fahami Tempoh Menunggu Medical Card

Apa Yang Harus Kita Tahu Tentang Tempoh Penggunaan Medical Card

Kredit kepada: Aizuddin Yusoff

www.facebook.com/aizuddinyusoffconsultancy/

Kad Perubatan: Fahami Tempoh Menunggu 30 Hari, 120 Hari dan 2 Tahun di dalam Polisi.

Ketiga-tiga tempoh di atas mesti difahami oleh setiap pemegang kad perubatan sebelum mendapat rawatan di hospital swasta untuk mengelakkan ‘masalah’ dengan GL.

Apabila polisi takaful kad perubatan lulus, perlindungan rawatan perubatan bermula serta-merta untuk kes kemalangan. Laporan doktor sangat penting untuk justifikasi perlu kemasukkan ke wad selepas kemalangan berlaku. Jika laporan tidak cukup kuat atau tidak tepat untuk kes kemalangan ini, dikhuatiri pihak syarikat hanya beranggapan rawatan pesakit luar adalah mencukupi dan menolak mengeluarkan GL. Inilah yang berlaku dalam kes Datok Jamal Yunos yang viral baru-baru ini, ianya salah faham daripada laporan doktor pertama yang memohon GL menyebabkan permohonan ditolak.

Bagi rawatan pesakit luar akibat kemalangan, pelanggan perlu membayar dulu kos rawatan dan dituntut kemudian daripada pihak syarikat takaful.

Secara umum, tempoh menunggu untuk kad perubatan adalah 30 hari daripada tarikh mula polisi. Tempoh menunggu bermaksud sebarang penyakit yang dikesan dalam tempoh ini dianggap sebagai penyakit sedia ada, dan tidak dilindungi.

Selepas 30 hari, jika menghidap penyakit ‘biasa’ seperti demam wabak denggi atau keracunan makanan, pihak syarikat biasanya akan mengeluarkan GL dengan mudah.

Namum ada beberapa penyakit tertentu yang memerlukan tempoh menunggu selama 120 hari (4 bulan). Antaranya tekanan darah tinggi, kencing manis, jantung, berkaitan kanser, tulang belakang (termasuk disk), lutut dan lain-lain (rujuk polisi bawah definisi ‘specified illnesses’). Jika penyakit-penyakit di atas dikesan di dalam tempoh menunggu 120 hari, ianya dianggap sebagai penyakit sedia ada dan tidak dilindungi.

Adakah selepas habis tempoh menunggu, GL akan keluar secara automatik dalam semua kes? Tidak juga. Katakan pada bulan ke-8, pelanggan dikesan menghidap kencing manis. Kebiasaannya pihak syarikat akan menjalankan penyiasatan untuk menentukan jika penyakit sebenarnya bermula sejak dalam tempoh menunggu atau selepas tempoh menunggu tamat. Sebab itu, GL juga tidak dikeluarkan untuk siasatan dijalankan.

tempoh-menunggu

Di antara kaedah siasatan termasuklah (a) laporan doktor merawat, jadi pesakit mesti memberi tarikh yang betul semasa ditanya oleh doktor bila mula sakit, sebab laporan doktor kepada pihak syarikat takaful menentukan perlindungan diberikan atau sebaliknya; dan (b) pihak syarikat juga akan membuat semakan dengan hospital-hospital panel syarikat dan hospital kerajaan berdekatan untuk memastikan pelanggan tidak pernah membuat rawatan yang sama sebelum ini.

Jika hasil siasatan mengesahkan penyakit hanya dikesan selepas tempoh menunggu tamat, pihak syarikat akan membayar balik sepenuhnya kos rawatan (tertakluk kepada caj ko-takaful jika ada).

Sebagai nota tambahan, jika penyakit yang sama berulang di masa hadapan selepas siasatan mengesahkan ianya dikesan selepas tempoh menunggu, pihak syarikat tidak lagi meminta siasatan yang sama, jadi GL akan dikeluarkan dengan lancar.

Berapa lama pihak syarikat berhak meminta siasatan dijalankan untuk pengesahan status bukan penyakit sedia ada? Dalam tempoh 2 TAHUN. Di dalam polisi dinyatakan dengan jelas, pihak syarikat akan menerima semua terma di dalam polisi (termasuk tiada penyakit sedia ada) selepas tempoh 2 tahun selesai. Jadi GL akan dikeluarkan dengan mudah dan lancar bila mana laporan doktor semasa permohonan GL mengesahkan keperluan rawatan di hospital.

Fahami tempoh-tempoh di atas dengan jelas, dapatkan maklumat lanjut daripada agen masing-masing. Ini mungkin boleh mengelakkan masalah timbul akibat kekeliruan dan salah faham.